• Wed. Nov 27th, 2024

𝗣𝗘𝗥𝗝𝗨𝗠𝗣𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗘𝗥𝗨𝗦𝗜 𝗝𝗘𝗠𝗔𝗔𝗛 𝗧𝗘𝗥𝗧𝗜𝗡𝗚𝗚𝗜 𝗕𝗔𝗞𝗔𝗧 𝗔𝗧𝗠 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗔𝗛𝗟𝗜 𝗕𝗔𝗞𝗔𝗧 𝗣𝗨𝗦𝗣𝗔𝗛𝗔𝗡𝗔𝗦

PUTRAJAYA, 15 Okt 24 – Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Puan Sri Datin Seri Ramlah binti Dawi telah mengadakan sesi perjumpaan bersama ahli BAKAT Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) yang bertempat di Dewan Hikmat, PUSPAHANAS hari ini.
Seramai 200 ahli BAKAT yang terdiri daripada isteri-isteri Pegawai dan Staf, Penuntut Kursus, dan Juruarah PUSPAHANAS telah terlibat. Acara dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota merangkap Penasihat BAKAT ATM, Mejar Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Hj Jaffar dan diteruskan dengan sesi dialog yang berfokus tentang peranan dan tugas sebagai Pengerusi BAKAT di pasukan.
Perjumpaan ini merupakan medium komunikasi dua hala yang digunakan sebagai inisiatif bagi menghubungkan pucuk pimpinan tertinggi BAKAT ATM bersama dengan ahli BAKAT untuk berkongsi pengalaman dan memberi nasihat yang bermakna buat ahli BAKAT PUSPAHANAS yang bakal menjadi Pengerusi BAKAT di pasukan kelak.
Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM juga turut menyatakan hasrat agar segala amanat yang diberi dapat dijadikan panduan kepada ahli BAKAT dan organisasi BAKAT akan terus cemerlang di masa akan datang.